SUBJEK DALAM FOTOINSPIRASI
4 orang jurugambar yang amat dikenali dan dihormati di dalam komuniti industri mereka tersendiri ini akan berkongsi pengalaman dengan anda. Jurugambar elit ini akan membuka minda anda, agar bidang fotografi di Malaysia akan dilihat dalam skop yang lebih luas. Dengan ini diharapkan, negara kita akan melahirkan lebih ramai jurugambar yang bertaraf dunia.
Din Arshad (Advertising Photography)
Persembahan gambar terbaik (slide show), disusuli dengan komen jurugambar terhadap aspek teknikal, artistik dan cabaran dalam penghasilan gambar tersebut.
Pengenalan ringkas kepada fotografi pengiklanan dan komersial. Ciri-ciri gambar dan jurugambar pengiklanan. Tentang pasaran dan bagaimana langkah untuk menembusi pasaran yang dikatakan terkawal ini.
Bicara peralatan fotografi dan teknikal. Jurugambar akan mendedahkan peralatan kamera dan aksesori penting yang sering beliau gunakan dalam fotografi pengiklanan. Salah satu rahsia jurugambar yang jarang-jarang didedahkan.
Din Arshad akan berkongsi teknik berkomunikasi khas untuk jurugambar. Bagaimana menyampaikan idea kita kepada subjek dan pengarah seni, cara meyakinkan pelanggan baru, cara menangani konflik, cara ‘menyembunyikan’ masalah teknikal dan cara mengekalkan hubungan dengan pelanggan dan sebagainya. Dalam kerjayanya, Din Arshad telah hidup dengan kemahiran komunikasi ini, berurusan dengan art director yang cerewet, CEO syarikat gergasi yang bengis dan pelanggan antarabangsa yang sentiasa ragu kepada jurugambar tempatan.
Melalui pengalamannya selama lebih dari 20 tahun dalam fotografi, melalui zaman analog dan digital, Din Arshad akan menjelaskan kepada anda, erti sebenar fotografi dari sudut seni dan falsafahnya. Beliau akan menjelaskan, apakah sebenarnya foto yang baik. Bagaimana cara untuk melatih diri melihat dunia dari sudut fotografi dan bagaimana cara menjadi seorang jurugambar sejati.
Jurugambar pengiklanan sememangnya mempunyai kemahiran luar biasa dalam aspek komposisi dan konsep. Din Arshad akan memberi kefahaman kepada anda tentang ilmu komposisi yang mampu membuatkan setiap pixel gambar anda kuat dan mampu menyampaikan mesej dengan jelas. Din Arshad akan mendedahkan falsafah disebalik membuat gambar (make picture), bukan sekadar merakam gambar (take picture)
Sesi soal jawab bersama Din Arshad
Bustamam Mokhtar (Fashion Photography)
Bustamam akan menayangkan kepada anda, rakaman gambar terbaik beliau yang pernah tersiar dalam berbagai media cetak berprestij. Anda akan didedahkan cerita sebenar tentang pembikinan gambar-gambar tersebut.
Bustamam akan memperkenalkan dunia fashion photography dan tips mudah dan berkesan untuk merakam gambar potret yang boleh diguna pakai oleh semua golongan jurugambar. Dalam 10 minit, anda akan mendapat ringkasan pengalaman fotografi beliau selama lebih dari 10 tahun!
Bustamam akan menunjukkan peralatan fotografi unik yang beliau gunakan seperti Beauty Dish, Studio Ring Flash, Potty, Phase One dan sebagainya. Beliau akan menerangkan kelebihan peralatan ini dan pilihan alternatif jika anda tidak memilikinya.
Bustamam pernah menggunakan lampu buatan sendiri untuk merakam gambar Siti Nurhaliza. Beliau juga turut memiliki kamera dan peralatan studio yang mencecah harga ratusan ribu ringgit. Beliau akan membincangkan adakalanya peralatan tidak perlu canggih, ada kalanya peralatan mahal menjadi kemestian. Banyak hasil gambarnya yang terbaik hanya menggunakan peralatan minimum yang turut dimiliki oleh kita semua. Apakah caranya?
Budaya kerja dan sikap – penentu kejayaan seseorang jurugambar. Bustamam akan berkongsi pengalaman beliau ketika belajar fotografi dan bekerja sebagai jurugambar dengan bangsa Jepun di Tokyo, selama 3 tahun. Beliau akan mengupas masalah sikap jurugambar di Malaysia berbanding jurugambar di negara maju yang lain. Budaya kerja yang beliau belajar di Jepun, adalah salah satu penyumbang besar kepada kejayaan beliau sekarang. Siapa kata kamera dan kemahiran saja boleh lahirkan jurugambar cemerlang?
Kepentingan imaginasi dan pre-production dalam fotografi. Hasil gambar terbaik Bustamam datang dari imaginasi, melalui research yang berterusan. Gambar rakaman kita adalah satu bentuk penzahiran tentang apa yang ada dalam hati, perasaan dan minda kita. Bustamam akan membincangkan senarai kerja penting yang perlu kita lakukan sebelum klik! Inilah salah satu rahsia jurugambar hebat.
Sesi soal jawab bersama Bustamam Mokhtar
Shamshahrin Shamsudin (Photojournalism)
Shamshahrin akan menghuraikan mesej dalam setiap gambar terbaik yang beliau rakam. Beliau juga akan menceritakan mengenai aspek teknikal, artistik dan cabaran dalam penghasilan gambar tersebut.
Shamshahrin akan memperkenalkan secara ringkas mengenai photojournalism dan etika jurugambar kewartawanan. Beliau akan turut menjelaskan bagaimana elemen photojournalism boleh diguna pakai dalam bidang lain seperti wedding photography, event photography, travel photography, corporate photography dan sebagainya.
Shamshahrin akan akan menjawab pertanyaan popular – apakah peralatan yang sering diguna oleh photojournalist dengan menunjukkan kepada anda segala peralatan yang terdapat dalam beg kamera beliau. Ketahui peralatan yang tidak membebankan, boleh diguna dengan cepat dan boleh dipercayai untuk tugasan yang paling mencabar.
Menaikkan martabat jurugambar di Malaysia dengan penguatkuasaan hakcipta gambar. Shamshahrin akan mendedahkan hak anda terhadap karya fotografi anda serta beberapa perkara penting serta faedah yang anda perlu tahu mengenai hakcipta gambar. Semuanya menerusi pengalaman beliau ‘menjual’ gambar sehingga ke peringkat antarabangsa.
Shamshahrin akan membuka jalan kepada anda untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan merakam gambar untuk agensi bertaraf dunia. Peluang untuk dibayar dalam US Dollar adalah tidak sesukar yang disangka. Shamsharin akan turut memperkenalkan mengenai bidang Photo Stock yang telah memberi keuntungan kepada ramai jurugambar secara senyap selama ini.
NO CAMERA! Shamshahrin akan memberikan tips bagaimana untuk menghampiri subjek yang tidak suka gambarnya dirakam. Beliau juga akan turut memberikan tips bagaimana untuk mendapatkan keyakinan untuk merakam gambar di depan khalayak ramai dan dalam suasana yang tegang.
Sesi soal jawab bersama Shamshahrin Shamsudin
Ikram Ismail (Wedding Photography)
Ikram Ismail akan berkongsi gambar-gambar perkahwinan rakaman beliau dan akan memberikan anda tips bagaimana untuk mendapatkan gambar-gambar sedemikian. Ikram Ismail telah menggabungkan 5 bidang fotografi ke dalam fotografi perkahwinan, iaitu – fashion photography, interior photography, product photography, photojournalism dan fine art photography.
Ikram akan membincangkan erti sebenar fotografi perkahwinan dan salah anggap jurugambar mengenai fotografi perkahwinan. Ikram akan turut membincangkan isu salah faham wedding photojournalism.
Untuk sesuatu tugasan merakam gambar perkahwinan, Ikram membawa 5 buah beg berisi peralatan fotografi! Beliau akan mendedahkan kepada anda, apakah peralatan yang sering beliau gunakan dan teknik penggunaannya. Peralatan inilah yang membuatkan beliau berbeza berbanding jurugambar lain.
Ikram akan mendedahkan cara pemasaran berkesan dan murah melalui word of mouth. Ketika jurugambar lain sibuk mempromosikan diri di media internet dan media cetak, Ikram tetap mendapat permintaan yang tinggi dengan teknik pemasarannya yang tersendiri. Beliau akan turut membincangkan mengenai kepentingan penampilan jurugambar, portfolio presentation serta kawalan kualiti.
Ikram akan menghuraikan kesilapan yang sering dilakukan oleh jurugambar yang terlalu terikat dengan teknologi peralatan kamera. Ikram akan menjelaskan keperluan dan bukan keperluan dari segi teknologi VR/IS, Full Frame Camera, High ISO with low noise, fast lens, ultra wide angle lens, super zoom lens dan sebagainya. Jangan terpedaya dengan teknologi.
Ikram akan berkongsi cara beliau belajar fotografi, mencari idea baru, membentuk karya dengan identiti tersendiri, mencipta teknik baru, melatih mata untuk melihat subjek dan memperbaiki kualiti gambar sendiri. Proses ini perlu dilakukan oleh anda semua ke arah membawa karya fotografi anda ke tahap yang lebih jauh.
Sesi soal jawab bersama Ikram Ismail
|